Minggu, 29 Juni 2014

PERSONALITI @SAYONG LEMBAH

KELUARGA MAT TEKANG


sejarah sayong

Banyak tidak kita ketahui
Tentang sejarah silam
Sedangkan dimana-mana
Orang lain menyebut tentang desa kita
Tentang figura lampau yang banyak jasa
dan kisah nyata mereka

Sedangkan hari ini kita
Tak tau menahu pun tentang cerita yang nyata
Tentang raja dan rakyatnya
Tentang banyak perkara lama


Banyak peninggalan

Yang ada dimerata-merata
Tentang raja dan rakyat jelata
Tapi banyak yang tiada tertulis sejarahnya
Untuk tatapan cucu cicit kita

Moh kita sesama berganding tenaga

Korek dan selidik apa yang yang ada
Disebalik dinding sejarah desa kita
Agar generasi remaja belia dapat hayatinya
Kita pahati biar terus kekal bersemadi
Dalam setiap jiwa warga desa
Agar bangga sampai bila-bila....

PENGKALAN TAMBANG

PENGKALAN TAMBANG YANG SUDAH MENJADI SEJARAH
ANTARA ORANG-ORANG LAMA KAMPUNG SAYONG LEMBAH

Sebut saja 'bot sayong' semua warga kampung-kampung di seberang Bandar DiRaja Kuala Kangsar akan mengingatinya. Kerana sejarah bot sayong bukan sahaja menjadi nostalgia bagi penduduk Kampong Sayong Lembah dimana terletaknya Pengkalan Tambang tersebut tetapj menjadi sejarah yang tak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh masyarakat Mukim Sayong. Keseluruhan kampung dari Penaga ke Rambai Tujuh menggunakan khidmat BOT SAYONG sebelum terbinanya Jambatan Sultan Abdul Jalil sepanjang 330 meter pada tahun 2002.

Bot Sayong banyak sejarahnya dari segi sosio-ekonominya. Semua urusan kehidupan samaada samaada pendidikan, kedai runcit dan pelbagai urusan yang lainnya, bot sayong akan menjadi nadinya.

Sebut aje Bot Sayong nama-nama seperti Pak Simin, Pak Don, Pak Zon, Ta Simin, Pak Mat Raus dan anaknya Sema, Pak Berahim dan beberapa nama lagi akan sentiasa terbayang di kalangan pengguna bot sayong. Jasa mereka di hati-hati masyarakat warga sayong terutama bagi masyarakat sebelum 2002 yang menjadi pengguna tegar bot sayong.










Minggu, 10 Februari 2013

R@DUAN NORUDIN RN yang ku kenal
oleh Nosa Iskandar

Walaupun secara peribadi saya baru kenal dengan figura yang bernama Raduan Norudin RN ini tetapi saya amat kagum akan keupayaan dan daya kreativiifnya dalam menghasilkan karya-karya yang sungguh nostalgik dan semasa juga. Orangnya nampak cukup sederhana dalam pergaulan seharian...berjanggut, berkopiah dan tutur bahasanya amat santun sekali.
   Raduan walaupun berasal dari kampung yang sama dengan saya tetapi perkenalan kami baru bermula setelah saya berusia senja dan beliau sendiri sudah punyai 4 orang anak. Masa di kampung dulu saya tak pernah ingat adakah kami pernah bertemu dimana-mana. Dan baru kini juga saya tahu ayahandanya adalah seorang yang cukup saya kenal sewaktu ayahandanya itu masih ada.
   Bercerita tentang ayahandanya, beliau itu adalah pemandu bot penambang yang cukup serius roman mukanya. Dia macam pelakun Shariff Dol 'samseng kampung dusun' dalam filem Bujang Lapuk arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Tapi ayahanda Raduan ini cukup pendiam orangnya..... dan sesekali dia akan melawak juga. Itulah karektor yang masih dapat saya ingat tentang ayahanda Raduan yang lebih dikenali dengan panggilan Zon bot semasa hayatnya.
      Bercerita tentang karya Raduan, sempat saya lihat ianya adalah berpaksikan suasana disekeling kita. Ada yang nostalgik dan semasa dan lebih mirip kepada apa yang dapat katakan dalam bahasa saya sendiri sebagai modern art. Entah apa yang diistilahkan oleh Raduan dan pelukis sepertinya saya tak tau. Dan biasanya disetiap lukisan yang dihasilkan ada saja mesej disebaliknya. Itulah kekuatan Raduan dengan hasil-hasil karyanya. Luahan hatinya tidak setakat biasa-biasa sahaja ada juga kelihatan berontak dan gelodak hatinya yang ditumpahkannya lewat hasil karyanya. Seperti karyanya 'Penjual Injin' nampak keras mengkritik Menteri Pertahanan atas isu kehilangan injin helikopter yang pernah satu ketika heboh diperkatakan.
      Dan lukisan yang paling saya suka adalah karyanya yang saya namakan sebagai 'Bot Penambang'. Bot Penambang adalah hasilkarya yang nostalgik bagi kami di kampung Sayong Lembah, kampung kelahiran Raduan yang juga menjadi kampung saya membesar.
Bot Penambang karya Raduan Norudin RN
Bot itu jugalah yang menjadi kenaikan saya dan rakan sebaya yang bersekolah di SMR Raja Muda Musa Jalan Kenas . Masa tu SM Sayong tak dibina lagi. Semua murid-murid di seberang sana akan bersekolah dibeberapa buah sekolah di bandar Kuala Kangsar.
     Itulah secebis kisah disebalik kehidupan saya dan Raduan dan Raduan telah mengabadikannya dalam sebuah lukisan yang ternyata amat nostalgik dan menyentuh hati saya dan ramai lagi penduduk kampung yang turut berbangga dengan bakat yang ada pada seniman yang telah mencipta nama dengan hasil-hasil karyanya. Dan saya sungguh rasa bertuah kerana dapat mengenali Raduan sebelum saya menutup mata.
    Saya meneliti satu persatu hasilkarya beliau dalam blognya. Blog yang memuatkan hasilseninya itu dinamakan 'www.suteramalaya.blogspot.com' juga bercerita tentang kerjaya dan aktiviti-aktiviti seninya.
    Beliau juga menjadi orang penting dalam kerjayanya di RTM. Dan pada waktu lapang dia akan melakarkan dinding-dinding di sekitar Ibukota dan beberapa tempat lain dengan aktivitinya yang beliau namakan sebagai 'Graviti', Melalui lakaran-lakaran itulah antara tempat Raduan meluahkan rasa hatinya.
       Raduan juga pernah terlibat dalam pembikinan sebuah drama popular RTM iaitu KELONG KASIH karya Badrul Amir Mat Isa  sebagai pelukis set (Lihat  http://kelongkasih.blogspot.com/ ).

Raduan Menyiapkan Lakaran Set Kelong Kasih

Kelihatan Raduan sedang bekerja keras menyiapkan lakaran dindingnya
DYMM Sultan Johor sedang berkata sesuatu kepada Raduan semasa baginda
mencemar duli mengunjungi Pameran Endau Rompin yang disertai Raduan

                                                                                       http://suteramalaya.blogspot.com/
                                                                                    http://kelongkasih.blogspot.com/

Selasa, 05 Februari 2013


HASHIM YASSIN @ZAID MENCIPTA NAMA 
DI DUNIA TEATER

HASHIM YASSIN
Lahir : 4 Disember 1940, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar Perak.
MENINGGAL  : 2 Oktober 1991


SEBUAH drama klasik yang berjudul “Citrawirama Langkasuka” telah dipentaskan oleh Grup Estetika, Universiti Utara Malaysia sempena Persidangan Dialog Utara V pada 28 April 1991 di Dewan Sultan Abdul Halim Alor Setar.  Persoalan yang dipaparkan adalah tentang kedatangan agama Islam di negeri Kedah Darul Aman.  Penulisnya menggunakan teknik imbas muka dengan bantuan gerak cahaya dan bunyi.  Drama ini menggambarkan zaman kekufuran dan salasilah raja-raja di utara Tanah Melayu.  Skrip drama tersebut ditulis oleh Hashim Yassin, suatu nama yang tidak asing lagi dalam perkembangan drama moden Malaysia. Inilah karya terakhirnya, sebelum kembali menemui-Nya.

Sebelum ini, pada tahun 1977, drama Hashim yang berjudul “Paku Alam” yang memenangi Pesta Drama Kebangsaan dianggap oleh beberapa peneliti drama pentas sebagai karya sastera yang istimewa dengan kehadiran watak-watak sastera lama dalam drama moden.  Pada tahun 1982 pula dramanya, “Imbas” yang juga memenangi Pesta Drama Malaysia telah meraih Trofi Seri Panggung untuk kategori penerbit, penyunting dan pereka set terbaik pada Malam Seri Angkasa RTM, Disember 1983.  Kemuncaknya drama ini memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983.  Pada 1 Oktober 1991, sehari sebelum Hashim menghembuskan nafas terakhirnya, “Imbas” dipentaskan semula oleh Kumpulan Teater Alor Star (Kumtas) sempena Pekan Teater peringkat negeri Kedah.

Hashim menceburkan diri dalam bidang penulisan drama pada tahun 1957.  Minat awalnya tumbuh semasa beliau bersekolah Inggeris. Sebagai calon peperiksaan Senior Cambridge, para pelajar dikehendaki menghafal satu babak daripada teater Shakespeare berjudul “Macbeth” sebagai syarat untuk lulus mata pelajaran Kesusasteraan.  Beliau juga terlibat dalam persembahan sandiwara sekolah yang memaksa pelakonnya mencipta dialog secara spontan semasa berlakon.  Pengalaman ini semua banyak membantu beliau, malahan merupakan latihan awal bagi Hashim dalam menghasilkan skrip drama kemudiannya.  Skrip drama Hashim yang pertama ialah “Hot News”, drama komedi yang ditulis semasa beliau aktif dalam Kelab Teater Inggeris/Melayu.
Di samping minat sendiri yang bercambah di sanubarinya, Hashim mengakui bahawa dorongan juga telah diberikan oleh gurunya yang berbangsa Inggeris, serta dua orang tokoh sasterawan tanah air, Awang Had Salleh (Tan Sri) dan Noordin Hassan (Dato’).  Galakan juga datang daripada ketua kampungnya, Abdullah Sani yang memimpin Kelab Teater Bacaan Sayong Lembah.

Semasa berada di kampung iaitu sekitar tahun 1957 hingga 1959, Hashim bergiat dalam kelab teater ini.  Kelab ini yang dinamakan "Taman Bacaan" sering mengadakan persembahan sandiwara sebagai satu kegiatan hiburan untuk penduduk-penduduk kampung dan seluruh daerah Kuala Kangsar dan sekitarnya.  Begitu juga ketika menuntut di maktab perguruan, Hashim sering mengambil bahagian sebagai pengarah dan pelakon dalam persembahan drama.  

Di maktab juga beliau mula mempelajari ilmu sastera.  Bagi mendalami pengetahuan dalam bidang drama, Hashim pernah mengikuti Kursus Audio Visual di British Institute of Career (BK) di Australia.
Kegiatan teater Hashim mula menonjol pada sekitar tahun 1960-an dan untuk pertama kali beliau mementaskan “Megat Terawis” dan “Di Ambang Sore” di Pesta Kesenian Pulau Pinang.  Pada tahun 1963, beliau mementaskan pula “Panca Media” sempena Kongres Guru-guru Malaysia di Alor Setar.

Selepas itu, Hashim menempah kejayaan demi kejayaan dan pada tahun 1964 hingga 1990, sekurang-kurangnya beliau berjaya menghasilkan dua buah drama dalam setahun.  Karya Hashim sering memenangi hadiah, antaranya  pada tahun 1965, drama, “Sasau” memenangi Hadiah Drama Terbaik daerah Alor Setar.  Kemudian dalam Pesta Drama Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1974, drama Hashim yang berjudul “Inflakasta” memenangi Hadiah Teknik Terbaik.  Setahun kemudian, pada tahun 1975, dramanya “Dalang” menjadi johan dalam Pesta Drama Kebangsaan.  Tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1976, “Joget Gelombang Beralun” mendapat hadiah penghargaan Pesta Drama Kebangsaan 1976.

Anak kedua daripada lima beradik, empat orang lelaki dan seorang perempuan ini menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Lasah.  Di sekolah inilah bapanya bertugas sebagai guru besar.  Kemudian Hashim melanjutkan pelajaran di Sekolah Clifford, Kuala Kangsar dari tahun 1958 hingga 1961.  Tamat sahaja persekolahan, beliau terus mengikuti latihan perguruan di Maktab Harian Alor Setar, iaitu dari tahun 1962 hingga 1963.  Setelah lulus latihan, beliau ditugaskan mengajar di bandar yang sama.  Akhirnya, jawatan ini terpaksa dilepaskan pada tahun 1984 kerana Hashim diterima bertugas di Universiti Utara Malaysia sebagai pegawai kebudayaan.
Dalam berkarya, Hashim mempunyai pegangan bahawa penulis drama adalah penyampai perutusan kepada pembaca.  Sebaris perkataan yang ditulis akan membina sebuah tamadun pada masa hadapan.  Visi dan misi perkembangan pemikiran manusia terletak pada pena pengarang.  Demikian yang dinyatakan oleh Hashim dalam buku Jambak 2.

Sebagai penulis yang prihatin terhadap perkembangan sastera semasa, Hashim aktif berpersatuan.  Beliau diangkat sebagai pemimpin beberapa persatuan, antaranya ialah Majlis Teater Sekolah-sekolah Kedah, Kumpulan Artis Utara (KAU), Kumpulan Teater Alor Setar dan Lembaga Pengurus Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.  Atas jasa dan kesungguhannya mencipta dan mempertingkatkan mutu sastera khususnya drama, Hashim dianugerahi Pingat Cemerlang Kedah (PCK) oleh Kerajaan Kedah dan Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Kerajaan Malaysia.